Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Kerja baiki injap bocor selesai, 144 kawasan terjejas terima bekalan air berperingkat

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Kerja-kerja pembaikan injap bocor di Warta Lama, Jalan Kuching yang menjejaskan 144 kawasan di Gombak dan Kuala Lumpur telah siap dilaksanakan pada pukul 2 pagi tadi.

Air Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan bekalan air telah disalurkan ke premis pengguna secara berperingkat memandangkan tempoh pemulihan bekalan air berbeza antara satu kawasan dengan kawasan lain mengikut lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bantuan alternatif melalui lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas, dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal semasa gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Air Selangor menasihatkan pengguna untuk bekerjasama dengan mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki air,” menurut kenyataan itu.

Pada Selasa (29 Mac), Air Selangor memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan injap bocor dijangka siap pada 9 malam pada 30 Mac tetapi disebabkan hujan lebat, kerja pembaikan tertangguh sehingga 2 pagi hari ini.

Perkembangan terkini gangguan bekalan air akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi dan laman web Air Selangor di www.airselangor.com .

– BERNAMA


Pengarang :