Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDAJENAYAH

Kes pinjaman tidak wujud: 545 ditahan, kerugian lebih RM5.3 juta

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Sejumlah 563 kes penipuan perkhidmatan pinjaman tidak wujud yang dilaporkan untuk tempoh Januari dan Februari tahun ini melibatkan kerugian bernilai lebih RM5.3 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Beliau berkata seramai 545 orang ditahan dalam tempoh itu berbanding 3,183 individu tahun lepas berkaitan kes sama dan 3,092 pada 2020.

“Berdasarkan rekod, sejumlah 5,723 kes jenayah ini dicatat pada tahun 2020 melibatkan kerugian RM60.2 juta dan pada tahun lepas, jumlah kes menurun kepada 4,788 kes dengan kerugian RM50.6 juta.

“Modus operandi sindiket penipuan ini ialah mengiklankan perkhidmatan mereka melalui media sosial seperti WhatsApp dengan mengenakan kadar faedah rendah serta proses kelulusan yang pantas antara tawaran diberikan bagi memperdayakan mangsa,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Mohd Kamarudin berkata mangsa yang berminat akan diminta membuat sejumlah bayaran atas pelbagai alasan antaranya fi perundangan, fi perjanjian, fi insurans dan yuran Lembaga Hasil Dalam Negeri sebelum pinjaman diluluskan namun setelah bayaran dibuat, pinjaman tidak diterima.

Beliau menasihati orang ramai agar berwaspada bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan pinjaman wang tidak wujud.

“Jangan mudah percaya iklan promosi pinjaman wang dengan kadar faedah yang rendah dan proses permohonan yang pantas tanpa syarat ketat.

‘Orang ramai juga perlu hadir secara fizikal ke institusi perbankan atau kewangan berlesen sahaja untuk membuat permohonan pinjaman wang,” katanya.

Mohd Kamarudin juga meminta orang ramai menyemak akaun bank atau nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ serta mendapatkan nasihat atau maklumat lanjut dengan menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599.

– BERNAMA

 


Pengarang :