Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada 28 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kesiapsiagaan hadapi kesan perubahan ekstrem iklim antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Kesiapsiagaan Kuala Lumpur berhadapan dengan kesan iklim yang semakin ekstrem termasuk banjir dan tanah runtuh dalam tempoh 20 tahun akan datang antara isu yang akan dikupas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu akan diajukan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) kepada Menteri Wilayah Persekutuan semasa sesi soal jawab.

Turut tersenarai, soalan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah proaktif kerajaan untuk meningkatkan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menghadapi kes-kes rasuah yang semakin kritikal.

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) pula akan meminta Perdana Menteri menyatakan usaha bagi mengekang penyebaran ajaran dan fahaman salah dari panduan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman bidaah dan khurafat yang masih berlaku dalam masyarakat.

Selesai sesi tersebut, bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 dijangka dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

– BERNAMA


Pengarang :