Pengunjung Pasar Tani di pekarangan Stadium Shah Alam pada 9 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM: Analisis 207 sampel sosej dapati patuhi tahap nitrit ditetapkan

PUTRAJAYA, 18 MAC: Kesemua 207 sampel produk hasilan daging termasuk sosej yang diambil daripada pasaran tempatan dan pintu masuk untuk dianalisis tahap kandungan nitrit, didapati mematuhi tahap yang ditetapkan, demikian menurut Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Mohd Salim Dulatti berkata sampel berkenaan diambil untuk dianalisis setelah KKM mengambil maklum laporan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand mengenai produk sosej yang diuji mengandungi nitrit melebihi paras dibenarkan oleh agensi berkenaan.

Menurutnya, FDA Thailand melakukan ujian tersebut selepas 14 kanak-kanak di negara itu mengalami methemoglobinemia iaitu sejenis penyakit gangguan darah selepas makan sosej tersebut.

Di Malaysia, katanya produk hasilan daging seperti sosej boleh mengandungi nitrit pada paras tidak melebihi 80mg/kg selaras dengan standard antarabangsa Codex.

“Hasil analisis yang telah dijalankan, kesemua sampel sosej didapati mematuhi tahap yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini, serta menambah BKKM sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak kedutaan Thailand berkenaan produk sosej yang terlibat.

Nitrit merupakan bahan pengawet makanan yang sering digunakan dalam produk hasilan daging bagi merencatkan pertumbuhan bakteria di samping menyerlahkan warna makanan.

Pengambilan nitrit pada kadar yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang itu cepat merasa letih dan penat, sukar bernafas, pening dan sakit kepala, berdebar-debar dan kelihatan pucat.

Mohd Salim berkata KKM akan meneruskan pemantauan keselamatan makanan di pasaran tempatan dan pintu masuk negara agar mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

– BERNAMA


Pengarang :