Minyak masak sawit dalam botol lima kilogram dijual pada harga RM30.90 sepanjang 8 Januari hingga 7 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Cadang dua harga minyak masak bagi kegunaan domestik, eksport

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mencari alternatif termasuk penetapan dua harga bagi kegunaan minyak masak domestik dan eksport.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu bertujuan memastikan agihan subsidi minyak masak sampai kepada golongan sasar.

“Kita sedang berunding mencari alternatif kepada sistem sedia ada termasuk melihat kepada (penetapan) dua harga (untuk minyak masak)…kegunaan domestik satu harga dan kegunaan eksport mungkin ikut harga pasaran.

Ini adalah cadangan untuk kita menangani masalah terlalu banyak perbelanjaan untuk subsidi (minyak masak),” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berhubung subsidi minyak masak.

Terdahulu, Nanta memaklumkan kerajaan sudah menambah subsidi minyak masak sebanyak RM1.9 bilion kepada peruntukan sedia ada bagi memastikan tiada gangguan bekalan.

Beliau berkata dalam masa sama, kajian berhubung mengoptimumkan subsidi di bawah KPDNHEP juga telah dijalankan bertujuan memastikan subsidi bawah kawal seliaan KPDNHEP sampai kepada golongan sasar.

Berhubung langkah mengehadkan pembelian minyak masak bersubsidi, beliau berkata ia dilaksanakan bagi memastikan pembelian minyak masak bersubsidi terkawal dan hanya golongan yang layak membeli bahan itu.

Menurutnya sehingga 28 Feb, sebanyak 6,500 premis diperiksa, 25 kertas siasatan dibuka dan 20 syarikat telah diambil tindakan seperti menggantung kuota skim minyak masak serta digantung lesen urus niaga.

“Pihak KPDNHEP melalui bahagian penguatkuasa telah melaksanakan langkah-langkah seperti pemeriksaan premis, audit rantaian pengedaran, risikan ke atas pengilang dan pemborong, menetapkan had pembelian sebanyak tiga peket serta kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa lain,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :