Keadaan Sungai Klang yang semakin bersih setelah lebih 75,000 tan metrik sampah berjaya dikeluarkan sejak 2016. Foto ihsan Landasan Lumayan Sdn Bhd
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kualiti sungai di Selangor kategori selamat, berupaya bekal air bersih

SHAH ALAM, 29 MAC: Tahap kualiti air sungai di Selangor berada dalam kategori selamat serta boleh dirawat untuk bekalan air bersih kepada pengguna.

Dato’ Menteri Besar berkata berdasarkan indeks kualiti air (IKA) Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati sebahagian besar sungai utama negeri ini pada tahap satu dan dua.

“Dalam laporan diberikan ada dua sungai pada tahap sederhana iaitu Sungai Klang dan sebahagian kecil Sungai Langat.

“Ada sungai IKA tahap 89 dan ini dianggap baik. Kalau ikut kriteria JAS tahap sederhana boleh diabstrak untuk air bersih cuma perlukan kos rawatan tinggi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau bercakap selepas menyaksikan perjanjian memorandum persefahaman antara Lembaga Urus Air Selangor dengan beberapa agensi serta syarikat berkaitan kerajaan di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Minggu lalu EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata laporan IKA JAS melibatkan sungai utama di negeri ini adalah bersih.

Setakat 1 Mac, IKA di Lembangan Sungai Selangor adalah 86, Sungai Langat (91), Sungai Tengi (87) dan Sungai Bernam (93) manakala lembangan sungai lain pada tahap sederhana tercemar antara 62 ke 78.

Sementara itu Amirudin berkata mulai awal bulan ini Kerajaan Negeri sentiasa memantau paras empangan sebagai persediaan musim kemarau yang dijangka berlaku April hingga Ogos ini.

“Penurunan di satu empangan itu pun libatkan satu peratus, yang lain kekal 100 peratus. Kita bersedia dengan ramalan Jabatan Meteorologi dan akan ambil tindakan. Perubahan iklim tidak dapat dijangka jadi kena siap sedia,” katanya.


Pengarang :