EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 18 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kurang pekerja asing antara punca Hospital Selgate Rawang lambat siap

SHAH ALAM, 18 MAC: Kekurangan pekerja asing dalam bidang pembinaan menjadi salah satu punca kelewatan projek pembangunan Hospital Selgate Rawang.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata berdasarkan laporan kemajuan setakat Februari, projek anak syarikat Selgate Corporation itu mencecah 45 peratus.

“Kelancaran pembinaan terganggu disebabkan purata pekerja harian yang sedikit akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain kenaikan harga bahan mentah secara mendadak.

“Masalah pembekal yang menutup operasi dan tempoh (operasi) tidak menentu sepanjang PKP menyebabkan pembinaan berjalan agak perlahan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat, Dr Siti Mariah menjelaskan syarikat induk itu akan memastikan pembinaan hospital terbabit dapat disiapkan secepat mungkin.

Pada 21 April tahun lalu, Wei Kiat berkata hospital itu dijangka siap sepenuhnya Mac tahun ini selain Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersetuju menambah jumlah tingkat daripada lapan kepada 10 dengan tambahan peruntukan RM40 juta.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan hospital pertama dibangunkan Selgate Corporation bakal menjadi penanda aras terhadap sektor penjagaan kesihatan dalam negara selaras dengan mandat Kerajaan Negeri bersama PKNS untuk meneroka bidang perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pembinaan hospital memiliki konsep infrastruktur moden dan unik turut memberikan perkhidmatan khususnya untuk masyarakat di Rawang dan sekitarnya yang hampir mencecah 800,000 penduduk.


Pengarang :