BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Kutipan hasil lepasi sasaran, Sultan hargai usaha jabatan negeri

SHAH ALAM, 19 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan setinggi-tinggi perhargaan kepada semua jabatan yang berjaya mengutip hasil RM2.3 bilion, melebihi sasaran awal RM2.2 bilion.

Begitu juga jumlah pelaburan RM5.96 bilion yang diperolehi daripada 182 projek perkilangan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut bertitah agar Kerajaan Negeri bersiap sedia hadapi perubahan iklim dengan dua langkah utama: mengawal dan menyesuaikan diri (mitigasi dan adaptasi).

Baginda turut menzahir rasa sukacita atas kesungguhan rakyat jelata mendapatkan suntikan vaksin sejak tahun lalu sehingga mencapai lebih 90 peratus.

Berikut sebahagian titah Baginda di Dewan Negeri Selangor ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima pada 14 Mac.

Bismillahir Rahmanir Rahiim,

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas (14).

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Sejak kebelakangan ini, Beta amati semakin kerap berlakunya bencana alam sama ada di dalam negeri Beta mahupun di luar negara. Keadaan cuaca yang tidak menentu mutakhir ini juga menyaksikan kawasan tidak pernah dilanda banjir mengalami banjir besar, kemarau berpanjangan, kebakaran hutan, tanah runtuh, hakisan, serta kejadian ribut yang boleh mengancam kehidupan manusia dan juga hidupan lain.

Sungai Langat kini berada pada paras berjaga-jaga semasa tinjauan Bernama di kawasan sekitar Dengkil yang terjejas dengan banjir kilat pada 9 Mac 2022. Foto BERNAMA

Bencana alam yang berlaku ini adalah berikutan perubahan iklim yang menjadi salah satu daripada isu utama dunia pada masa kini. Perubahan iklim ini bukan sahaja memberi tekanan kepada persekitaran malah turut menjejaskan sistem ekonomi, politik dan sosial. Isu pemanasan global kini berada pada tahap yang membimbangkan akibat pelepasan Gas Rumah Hijau (GRH) berikutan pelbagai aktiviti manusia secara tidak terkawal seperti penggunaan lebih banyak bahan api fosil terutamanya batu arang, penebangan hutan secara berleluasa serta perubahan guna tanah tidak lestari. Jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GRH, dunia dijangka berdepan dengan bencana alam yang dahsyat pada skala yang lebih besar. Keadaan ini turut memberi kesan ke atas keselamatan, kesihatan termasuk gangguan terhadap ekosistem yang akan mengancam jaminan sumber air dan makanan.

Beta difahamkan rantau Asia Tenggara mencatatkan kedudukan teratas dari segi jumlah kejadian bencana alam dalam tempoh tiga puluh tahun lepas dengan lebih 90 peratus daripadanya dikategorikan sebagai bencana iklim. Malaysia, terutamanya Selangor yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi dengan pembangunan yang pesat, perlu memberi perhatian yang lebih serius terhadap perkara ini.

Di Malaysia, jumlah kejadian banjir meningkat sejak dua puluh tahun lalu dengan kerugian dianggarkan melebihi RM8 bilion. Jumlah ini tidak termasuk kerugian yang dialami oleh negara berikutan bencana banjir besar pada Disember 2021 lalu yang merekodkan kerugian RM6.1 bilion dengan Selangor mencatat kerugian terbesar iaitu RM3.1 bilion.

Semasa kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini, Kerajaan Beta telah mengaktifkan sebanyak 227 pusat pemindahan sementara bagi menempatkan lebih daripada 47,000 mangsa banjir dengan 3,503 aset dan keperluan logistik digerakkan ke kawasan terjejas.

Beta juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada lebih 20,000 orang petugas yang meliputi pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan persekutuan yang telah membantu sepanjang operasi banjir. Mobilisasi petugas ini membolehkan operasi menyelamat serta kerja-kerja pembersihan pasca bencana dapat dilaksanakan dengan kadar segera untuk memastikan rakyat terjejas dapat meneruskan kehidupan. Tidak dilupakan juga ucapan penghargaan kepada lebih 50,000 sukarelawan yang turut membantu Kerajaan Negeri semasa kejadian tersebut, khususnya daripada Team Selangor dan SERVE yang menggerakkan operasi pembersihan pasca banjir di semua lokasi yang terkesan.

Kerajaan Beta juga proaktif menyalurkan bantuan meliputi bantuan semasa banjir berlaku dan bantuan selepas banjir surut bagi meringankan beban mangsa banjir dengan menyalurkan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM106 juta.

Navaneethan Karuppasami, 40, menunjukkan sampul Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang di terima di Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam pada 22 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bagi pemulihan infrastruktur pula, Kerajaan Beta telah menerima cadangan 772 projek daripada Jabatan Kerja Raya Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor serta Jabatan Agama Islam Selangor membabitkan kos sebanyak RM519.42 juta.

Sehubungan dengan itu, dua pendekatan harus dititikberatkan dalam menangani isu perubahan iklim iaitu aspek mitigasi dan juga adaptasi. Tindakan mitigasi melibatkan pelbagai langkah untuk mengurangkan aktiviti pelepasan GRH yang merupakan salah satu punca utama pemanasan global. Manakala, adaptasi pula merangkumi pelbagai tindakan yang membantu masyarakat dan ekosistem untuk berhadapan dengan perubahan iklim. Kedua-dua tindakan mitigasi dan adaptasi perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan seimbang. Beta difahamkan bahawa Kerajaan Beta telah melaksanakan tindakan-tindakan strategik untuk mengukuhkan daya tahan Selangor terhadap impak perubahan iklim ini.

Usaha-usaha untuk mengekalkan Selangor sebagai negeri berdaya huni dan menjadi destinasi pilihan utama pelabur, telah diteruskan dalam Belanjawan 2022 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Memanda Dato’ Menteri Besar Selangor pada 26 November 2021, dengan tema – Kita Selangor: Negeri Tahan Uji, Mengangkat Martabat Insani.

Beta, dalam masa yang sama juga, ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang telah menunjukkan komitmen untuk memastikan pencapaian memberangsangkan dan telah berjaya memperolehi kutipan hasil tahun 2021 sebanyak RM2.3 bilion atau 103.55 peratus iaitu melebihi daripada anggaran awal sebanyak RM2.2 bilion.

Beta berkenan dengan inisiatif Kerajaan Beta dalam memudahcara para pelabur bagi menggalakkan pelaburan baru atau pengembangan pelaburan sedia ada bertujuan untuk meningkatkan lagi tarikan negeri Selangor sebagai pilihan utama pelabur tempatan dan luar negara. Bagi tempoh Januari hingga September 2021, prestasi pelaburan dan perindustrian merekodkan pencapaian yang menggalakkan di mana Selangor mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM5.96 bilion daripada 182 projek perkilangan yang diluluskan. Jumlah projek perkilangan yang diluluskan ini merupakan jumlah tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain, di mana sebanyak 12,226 potensi peluang pekerjaan diwujudkan di negeri Selangor.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat gerai pameran sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 November 2021.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ini adalah hasil daripada kejayaan Kerajaan Beta melalui Invest Selangor Berhad menganjurkan program tahunan iaitu Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS). Objektif penganjuran program ini untuk mempromosikan negeri Selangor sebagai hab perdagangan global di rantau ASEAN dan juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan serta memberi peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama perniagaan bagi menjadikan negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hab perdagangan bagi rantau ASEAN.

Beta juga dimaklumkan bahawa bagi tahun 2022, Kerajaan Beta akan menyempurnakan pembinaan tiga buah masjid iaitu Masjid Kota Damansara 2, Seksyen 9 di Daerah Petaling, Masjid Al-Ehsan Kampung Tok Muda di Daerah Klang dan Masjid Kampung Sungai Serai 13 di Daerah Hulu Langat.

Selain daripada itu, bagi menampung permintaan terhadap pendidikan Islam dan juga menjamin keselesaan pelajar, Kerajaan Beta memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk menaik taraf dan membina baru sekolah pendidikan Islam di negeri Selangor.

Sebanyak empat buah sekolah baru akan dibina iaitu Sekolah Rendah Agama Kota Kemuning, Sekolah Rendah Agama Bandar Saujana Putra, Sekolah Rendah Agama Bandar Teknologi Kajang dan Sekolah Rendah Agama Bukit Sentosa Fasa 1 di Hulu Selangor. Manakala dua buah sekolah akan dinaik taraf iaitu Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 dan Sekolah Rendah Agama Seksyen 7 Shah Alam.

Bagi menambah baik aspek pengurusan sumber air di Selangor, Beta dimaklumkan bagi tahun 2022, Kerajaan Beta telah memperuntukkan sebanyak RM58 juta untuk pelaksanaan Pembangunan Projek Tebatan Banjir, Pembangunan Sistem Saliran, Pembangunan Lembangan Sungai, Pengurusan Saliran Mesra Alam dan Pembangunan Pantai. Beta berharap Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor dapat memberikan pendekatan yang lebih kreatif dan berinovasi dalam menangani isu banjir dengan mengoptimumkan penggunaan sumber yang terhad.

Beta menyeru agar semua projek ini dapat dilaksanakan mengikut kos, jadual dan kualiti yang telah ditetapkan. Isu ketirisan melibatkan penjawat awam dan juga pemimpin politik sewajarnya tidak lagi timbul dengan tindakan proaktif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui penubuhan Unit Pemantauan Pelaksanaan dan Prestasi Selangor (SIAP). Unit ini bertanggungjawab untuk memantau prestasi pelaksanaan inisiatif dan projek, serta mengukur dan menilai prestasi dan pencapaian Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

 

Kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar mengangkat guni bantuan benih padi sah MR219 untuk diagihkan kepada petani ketika program lawatan kerja EXCO pertanian di Parit 11 Timur, Sabak Bernam pada 9 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Berikutan pandemik Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia sejak dari tahun 2020 telah memberikan kesan yang amat perit kepada negara khususnya di negeri Selangor. Sektor pertanian juga tidak terlepas dari kesan tersebut yang telah mengakibatkan projek-projek pertanian khususnya pertanian makanan menjadi perlahan dan seterusnya memberikan kesan kepada bekalan makanan.

Beta berharap Kerajaan Negeri mempergiatkan semula pelbagai program untuk mengurangkan keperitan dan kesusahan yang ditanggung oleh golongan warga tani di negeri Selangor bagi memastikan bekalan makanan berada pada tahap yang selamat dan pada masa yang sama sumber ekonomi warga tani dapat dipertingkatkan.

Beta dimaklumkan bahawa Kerajaan Beta telah memperuntukkan sebanyak RM67 juta untuk tujuan pembangunan sektor pertanian di negeri Selangor untuk tempoh lima tahun (2021-2025). Peruntukkan ini bertujuan untuk membangunkan program pembangunan sektor tanaman makanan.

Bermula pada tahun 2022, Beta dimaklumkan bawah Kerajaan Beta telah merancang untuk melaksanakan program-program yang boleh membantu mewujudkan peluang-peluang ekonomi khususnya kepada golongan muda di bawah Program Jaminan Bekalan Makanan – Pembangunan Agropreneur Smart Selangor Agro Park (SSAP) di Daerah Sabak Bernam, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Gombak dan Hulu Selangor. Melalui program ini, Kerajaan Beta mensasarkan untuk meningkatkan bekalan makanan di Negeri Selangor dan dalam masa yang sama turut membantu meningkatkan sumber ekonomi khususnya kepada golongan muda.


Pengarang :