Keadaan kenderaan rosak teruk dihempap bongkah batu yang jatuh dari bukit berhampiran dalam kejadian di Pangsapuri Taman Bukit Permai, Pandan Indah, Kuala Lumpur pada 9 Mac 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lapan kenderaan rosak teruk dihempap bongkah batu jatuh dari bukit

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Lapan kenderaan rosak teruk setelah ditimpa bongkah batu yang jatuh dari bukit berhampiran dalam kejadian di Pangsapuri Taman Bukit Permai, Pandan Indah di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam insiden pada kira-kira 4.30 pagi itu, bongkah batu menghempap kenderaan terbabit yang diletakkan di kawasan parkir Blok 4 pangsapuri berkenaan.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa. Siasatan awal polis mendapati kejadian itu disebabkan bencana alam susulan hujan lebat dan angin kencang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, laporan polis yang dibuat oleh pengadu dirujuk kepada agensi lain dan tiada kertas siasatan dibuka.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca dan tidak meletakkan kenderaan di bawah bukit atau pokok susulan kekerapan berlaku insiden pokok tumbang atau tanah runtuh yang disebabkan angin kencang serta hujan lebat.

— BERNAMA

 


Pengarang :