EXCO Perumahan, Rodziah Ismail membuat lawatan turun padang baik pulih rumah mangsa banjir di Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 14 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 10,000 mangsa bah terima bantuan baik pulih, bina rumah

SHAH ALAM, 14 MAC: Sebanyak 10,783 rumah terjejas akibat banjir pada Disember tahun lalu layak menerima bantuan baik pulih dan bina semula.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail jumlah setakat Februari itu melibatkan mangsa di Klang, Petaling, Hulu Langat serta Kuala Langat.

“Bantuan merangkumi tiga kategori. Pertama bagi kerosakan kecik sebanyak RM5,000, kedua kerosakan sederhana berjumlah RM15,000 dan ketiga bantuan bina semula rumah bernilai RM56,000.

“Setakat ini 44 rumah layak dibina semula dan dijangka siap sebelum Aidilfitri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Exco Perumahan, Rodziah Ismail bercakap kepada media ketika membuat lawatan turun padang baik pulih rumah mangsa banjir di Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 14 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau melawat tiga rumah yang menerima bantuan di Pulau Indah, Pelabuhan Klang serta Kampung Baru Hicom, Seksyen 26.

Rodziah berkata peruntukan bantuan dikeluarkan kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri bertindak sebagai penyelaras bagi memastikan proses berjalan lancar.

“Penyaluran sumbangan memerlukan semakan teliti. Jadi kita harap mangsa bersabar dan memberikan kerjasama sewajarnya,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bencana itu termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.


Pengarang :