Petugas kesihatan menyediakan dos penggalak vaksin Covid-19 di pusat vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 8 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 15.6 juta penduduk dewasa terima dos penggalak Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Sebanyak 15,613,982 individu dewasa atau 66.4 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan laman web CovidNow, sejumlah 22,948,364 individu atau 97.5 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,224,510 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,848,270 individu atau 91.5 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,945,627 atau 94.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sejumlah 1,305,766 individu atau 36.8 peratus kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Sebanyak 31,595 dos vaksin telah diberikan semalam meliputi 13,054 dos pertama; 890 dos kedua dan 17,651 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,675,263.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 34 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor dan Kedah mencatatkan jumlah kematian tertinggi masing-masing enam kes, diikuti Selangor lima kes dan Perak tiga kes.

Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Terengganu masing-masing merekodkan dua kes manakala Kelantan dan Melaka masing-masing satu kes.

– BERNAMA


Pengarang :