Petugas kesihatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam pada 27 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 15 juta populasi dewasa dapat dos penggalak

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Seramai 15,113,923 individu dewasa atau 64.2 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 22,930,441 atau 97.5 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,207,220 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sebanyak 1,060,063 individu atau 29.9 peratus kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Sementara itu, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,832,919 individu atau 91 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,933,324 atau 94.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 68,624 dos vaksin diberikan meliputi 19,511 dos pertama, 1,835 dos kedua dan 47,278 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,869,343.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 79 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor merekodkan angka tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Kedah dan Perak masing-masing 13 kes.

Selangor merekodkan 11 kes, Pahang dan Sabah masing-masing lima kes, Kelantan (empat), Melaka (tiga), masing-masing dua kes di Pulau Pinang, Sarawak, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala Negeri Sembilan (satu).

-BERNAMA


Pengarang :