Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 25,000 pesakit alami sindrom Covid-19 berlarutan

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Seramai 25,122 bekas pesakit COVID-19 yang sembuh dan discaj dari hospital kerajaan diberi janji temu untuk rawatan susulan di fasiliti kesihatan setakat Februari lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Berdasarkan pemantauan, beliau berkata terdapat lima gejala utama kesan jangka panjang COVID-19 atau Long COVID iaitu kelesuan (75.1 peratus), sesak nafas apabila melakukan aktiviti tertentu (63.1 peratus), batuk (14 peratus), kesukaran tidur (8.6 peratus), dan keresahan (3.8 peratus).

“Perkhidmatan rehabilitasi susulan juga terdapat di 41 fasiliti Perubatan Rehabilitasi yang memberikan perkhidmatan kepada pesakit ‘Long COVID’ iaitu di 32 hospital kerajaan, tiga hospital universiti, empat hospital swasta dan satu Pusat Rehabilitasi Kementerian Sumber Manusia.

“Perkhidmatan respiratori komprehensif yang khusus kepada pesakit Long COVID juga dilaksanakan di 21 hospital kerajaan seluruh negara. Sehingga kini, seramai hampir 15,564 pesakit COVID-19 kategori empat dan lima yang didiscaj dari hospital telah dirujuk bagi perkhidmatan khusus ini,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) memaklumkan 1,180,323 (33.2 peratus) kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun telah mendapatkan dos pertama vaksin hingga Isnin.

Beliau merayu agar ibu bapa serta penjaga menghantar anak-anak mendapatkan vaksin di pusat pemberian vaksin berhampiran terutamanya sebelum memulakan sesi persekolahan bagi melindungi golongan itu daripada jangkitan teruk COVID-19.

— BERNAMA

 


Pengarang :