EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (dua, kanan) melawat kiosk pempamer yang menyertai Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 4 Mac 2022. Foto Facebook Rodziah Ismail
AGENDAEXCOSELANGOR

Lebih 800 individu sertai klinik usahawan, bantu tingkat daya saing

SHAH ALAM, 5 MAC: Lebih 800 individu menyertai Klinik Usahawan Selangor bagi mendapatkan khidmat nasihat sepanjang tahun lalu, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata usahawan tidak hanya berdepan masalah kewangan dan modal untuk mengembangkan perniagaan sebaliknya juga perlu mendapat nasihat dan pandangan golongan pakar.

“Kita berikan usahawan latihan, kita lihat keperluan mereka sama ada perlu perkara tambahan untuk meningkatkan daya saing dalam perniagaan. Kalau perlukan barang atau peralatan, kita beri geran.

“Kalau tak cukup modal, Hijrah (Yayasan Hijrah) bagi pinjaman. Kalau perniagaan tersekat, kita bimbing menerusi Klinik Usahawan,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Sementara itu Rodziah berkata Selhac yang julung kali diadakan bermula semalam menjadi pendekatan untuk meningkatkan lagi semangat usahawan negeri ini.

“Kita mahu mereka teroka bidang ini bukan sahaja untuk pendapatan tetapi juga bawa nama Selangor ke pelusuk dunia,” katanya.

Selhac yang berlangsung dari Jumaat hingga Ahad mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat menyertai Selhac terdiri enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.


Pengarang :