Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao. Foto Facebook Polis Daerah Klang Utara
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Lelaki kurang siuman mengamuk atas lori kontena ditahan

SHAH ALAM, 5 MAC: Seorang lelaki kurang siuman berjaya ditahan polis dengan bantuan pasukan bomba pagi tadi selepas mengamuk di atas sebuah lori kontena di Persiaran Hamzah Alang, Taman Meru Indah, Kapar dekat sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk menerima rawatan.

“Kita tidak membuka apa-apa kertas siasatan, tiada apa-apa kesalahan cuma dia kurang siuman, jadi kita bawa dia ke hospital untuk dapatkan rawatan psikiatri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis pula berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.07 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira empat minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, anggota kita segera meletakkan jentera bomba bersebelahan lori kontena tersebut bagi membantu memudahkan polis untuk menahan lelaki yang dipercayai kurang siuman itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu yang tular di media sosial hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :