Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) bersama Penasihat DAP Lim Kit Siang ketika menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Selangor Anjuran DAP Kinrara di SJKC Sin Ming, Puchong pada 13 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lim Kit Siang umum bersara dari politik, tidak bertanding PRU

SHAH ALAM, 20 MAC: Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang hari ini mengumumkan persaraan beliau daripada arena politik, sekali gus tidak akan bertanding dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang kini telahpun berusia 81 tahun berkata susulan itu beliau juga menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP hari ini.

Katanya sejak berada dalam parti DAP, beliau telah melihat bagaimana parti itu telah berkembang dari sebuah parti pembangkang kecil hingga berjaya menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lepas.

“Saya melihat bagaimana parti kita telah berkembang dari sebuah parti pembangkang kecil yang mengambil bahagian pertama kali dalam pilihan raya umum tahun 1969, sehingga menjadi sebuah parti politik utama yang berjaya menubuh kerajaan persekutuan serta mengambil alih kerajaan di tujuh negeri bersama dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan semasa PRU-14,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di sini hari ini.

Beliau berkata Pilihan Raya Negeri Johor yang baru berlangsung merupakan satu peringatan yang penting bahawa Impian Malaysia yang mahu Malaysia menjadi sebuah negara bersatu padu, demokratik, adil dan berjaya, yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa merupakan satu perjuangan politik jangka panjang.

“Dalam proses ini, kita menghadapi banyak kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan. Tapi kita mesti kekal dengan matlamat kita dan jangan sekali-kali berkompromi dari segi prinsip dan cita-cita,” katanya.

Terdahulu, anaknya Lim Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP dalam ucapan dasarnya berkata bapanya telah dilantik dalam CEC pada usia 26 tahun.

“Ketika itu tiada siapa yang menyangka bahawa Lim Kit Siang akan menjadi nama besar dalam kalangan ahli politik Malaysia disebabkan kebijaksanaan, keberanian, semangat juang, dan kesetiaannya kepada prinsip serta ideal.

“Untuk sekian lama, perdana menteri serta menteri-menteri kabinet menganggap Lim Kit Siang sebagai ‘lawan’ yang hebat,” katanya sambil menambah Lim Kit merupakan ketua pembangkang paling lama berkhidmat, yakni sejak 1974 hingga 1999.

Lim Kit Siang memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Parti pada 1969 dan seterusnya dilantik menjadi Pengerusi Kebangsaan dari 1999 hingga 2004.

Selain Iskandar Puteri, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di Bandar Melaka (1969-1974); Kota Melaka (1974-1978); Petaling Jaya, Selangor (1978-1982); Kota Melaka (1982-1986); Tanjong, Pulau Pinang (1986-1999); Ipoh Timur, Perak (2004-2013) dan Gelang Patah, Johor (2013-2018).

Beliau juga pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Kubu, Melaka (1974-1982); Kampong Kolam, Pulau Pinang (1986-1990) dan Padang Kota, Pulau Pinang (1990-1995).

-BERNAMA


Pengarang :