EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau menampal pelekat bantuan caruman Perkeso sebagai gimik pelancaran program GIG Care sambil disaksikan Pengarah Perkeso Selangor Zainol Abu (kanan) di perkarangan Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Mac 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lindungi pekerja e-panggilan, negeri bantu carum Perkeso lebih RM46,000

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Selangor membelanjakan sejumlah RM46,600 bagi membantu pekerja e-panggilan dan p-panggilan mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun ini.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata caruman RM46.60 setahun melalui Pelan Dua Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) memanfaatkan 1,000 pekerja dalam sektor terbabit.

Menurutnya inisiatif diambil bagi memelihara keselamatan pekerja industri berkenaan selepas menyedari ramai kalangan mereka belum mencarum dalam sebarang skim perlindungan.

“Kita mengambil peluang untuk turut serta dalam program khas diwujudkan Perkeso ini memandangkan kebanyakan mereka adalah pekerja sendirian dan tiada perlindungan insurans.

“Bayaran caruman bagi setiap pekerja sepatutnya RM232.80, namun hasil pertimbangan Perkeso kita mendapat potongan 80 peratus. Kita berterima kasih kepada pihak berkenaan atas komitmen yang diberikan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program GIG Care di perkarangan Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah dekat sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Selangor Zainol Abu.

Ganabatirau menambah pihaknya melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bercadang untuk menambah kuota penerima manfaat tersebut pada tahun depan susulan sambutan menggalakkan.

Beliau juga menyaran majikan untuk memberikan subsidi perlindungan sedemikian kepada pekerja berikutan peningkatan kadar kemalangan membabitkan golongan itu.

“Walaupun hasrat kita untuk membantu setiap pekerja, tetapi disebabkan kekangan waktu kita dapat menolong segelintir daripada mereka sebagai langkah kesedaran.

“Ia bukan perkara biasa dan perlu diperluas kerana ratusan ribu individu di Selangor terlibat dalam pekerjaan ini,” katanya lagi.


Pengarang :