EXCO Hal Ehwal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex pada 15 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

Mais pantau pendakwah, ajaran bertentangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

SHAH ALAM, 15 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) prihatin dengan perkembangan ajaran dan fahaman bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata Mais mengambil pendekatan proaktif memperkasakan Ahli Sunnah Wal Jamaah melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS).

Maklum Mohd Zawawi Ahmad Mughni antara langkah yang dilaksanakan ialah memastikan pendakwah bertauliah di negeri ini berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Selain itu, memfatwakan berhubung persoalan khilafiah adalah perkara ijtihadiyyah dan tidak boleh sama sekali dihukumkan bidaah kerana amalan tersebut diterima dan menjadi amalan ulama muktabar sejak dahulu. Perkara ini difatwakan pada 2014 dan diwartakan.

“Selain itu, tindakan penguatkuasaan juga akan merujuk kepada Seksyen 12 (a)(b) dan (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor kepada mana-mana orang yang bertindak dengan cara menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan oleh Sultan Selangor sebagai Ketua Agama, Mais atau mufti,” katanya.

Mohd Zawawi menjawab soalan wakil rakyat Sabak Ahmad Mustain Othman berhubung langkah diambil oleh Mais bagi mengekang berkembangnya fahaman wahabi pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Tambah beliau, program seperti seminar, forum, kolokium dan seumpamanya juga diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Mais yakin dengan memantapkan akidah Islam di Selangor dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, segala bentuk ajaran dan fahaman yang bertentangan dapat dibendung,” katanya.


Pengarang :