Kakitangan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan sumbangan fidyah kepada golongan memerlukan pada 17 Februari 2022. Foto Facebook Mais
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais sasar kutipan fidyah RM8.5 juta tahun ini

SHAH ALAM, 1 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyasarkan jumlah kutipan fidyah sebanyak RM8.5 juta pada tahun ini menerusi Kempen Fidyah Negeri Selangor, Kewajipan Yang Sering Dilupakan, yang bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kewajipan tersebut.

Setiausaha MAIS Dr Ahmad Shahir Makhtar dalam kenyataan hari ini berkata kempen yang bermula hari ini hingga 25 Mac itu, mengajak masyarakat untuk celik, cakna dan memahami maksud fidyah atau qada puasa sebagaimana dituntut dalam hukum syarak.

“Pelbagai program telah diatur sepanjang kempen itu, antaranya sesi Webinar Lunaskan Fidyah pada hari ini (1 Mac), Forum Fidyah di Masjid Cahaya Iman Bandar Country Home, Rawang pada 2 Mac dan Sembang Santai Fidyah di Facebook Mais pada 8, 15 dan 22 Mac pukul 9.30 pagi,” katanya.

Menurut Ahmad Shahir pada tahun lepas majlis tersebut bersama Lembaga Zakat Selangor iaitu ejen kutipan fidyah MAIS telah menggiatkan pelbagai program dakwah dan kesedaran berkaitan kewajipan melunaskan fidyah.

“Hasil usaha dakwah berpanjangan berkaitan fidyah ini, sebanyak RM9.8 juta fidyah telah dilunaskan kepada Mais berbanding sasaran RM7 juta bagi tahun 2021. Daripada hasil kutipan fidyah itu, sebanyak RM8.1 juta telah diagihkan kepada mereka yang layak,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan fidyah layari pautan https://www.mais.gov.my/fidyah atau maklumat lanjut menerusi laman sesawang Mais, di www.mais.gov.my .

-BERNAMA

 


Pengarang :