Gambar hiasan
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Mampukah kita lindungi kewangan masa depan kita?

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Pandemik Covid-19, inflasi yang meningkat membawa kepada kenaikan harga makanan secara mendadak dan bencana alam seperti banjir telah mendorong ramai orang berada di luar landasan kewangan, menyebabkan mereka menghadapi kesukaran.

Walaupun ada yang bernasib baik kerana tidak terjejas dari segi kewangan, hampir semua keluarga Malaysia bekerjasama untuk membantu orang lain yang memerlukan dalam tempoh sukar ini.

Berdasarkan situasi semasa, pernahkah kita terfikir sama ada terdapat cara untuk melindungi kewangan masa depan kita sekiranya berlaku satu lagi pandemik, kemelesetan atau apabila mencapai umur persaraan?

Berapa banyak yang kita perlukan untuk hidup tanpa rasa bimbang dan melalui era persaraan tanpa hutang dan aman?

Dari segi hipotesis, untuk hidup dengan selesa, kita memerlukan kira-kira tiga perempat daripada gaji bulanan terakhir kita.

Ini bermakna jika gaji terakhir ialah RM3,000, kita memerlukan kira-kira RM2,250 sebulan.

Selepas bersara pada usia 65 tahun, anda hidup sehingga berumur 80 tahun misalnya, ini bermakna anda mempunyai tempoh 15 tahun.

Secara kumulatif, jumlah yang diperlukan secara kasar untuk berada dalam simpanan persaraan anda adalah pada penanda aras sebanyak RM405,000.

Lebih membimbangkan, menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebanyak 6.1 juta ahli atau 48 peratus daripada ahlinya di bawah umur 55 tahun kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan persaraan.

Adakah terdapat cara untuk menyelesaikan perkara ini?

Celik kewangan, tidak menyenangkan tetapi perlu diterima

Walaupun kita bercakap tentang betapa lemahnya celik kewangan kita dalam kalangan rakyat Malaysia, pernahkah kita terfikir sama ada bukan mereka tidak mahu menyimpan, tetapi mereka tidak mampu.

Pinjaman pelajar, pinjaman kereta, sewa rumah, utiliti, perbelanjaan perjalanan kerja dan makanan merupakan perkara asas yang perlu ditangani oleh kebanyakan orang.

Menurut Kajian Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia pada separuh pertama 2021, hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah 89.6 peratus atau kira-kira RM1.13 trilion — tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia.

Secara jujurnya, berapa ramai dalam kalangan kita sebenarnya sudah benar-benar kehabisan wang, mengira duit kecil menjelang minggu kedua atau ketiga pada setiap bulan dan hanya menghitung hari sehingga ke hari gaji?

Meskipun pasaran pekerjaan menunjukkan peningkatan semula, masih ramai yang mengalami pengurangan gaji terutamanya mereka yang berkhidmat dalam industri syarikat penerbangan, pelancongan, dan MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran).

Sebarang jangkaan membabitkan kenaikan dan bonus adalah sesuatu yang mustahil walaupun inflasi mewujudkan tekanan tambahan terhadap kewangan kita.

Pada masa ini, segelintir individu mungkin memilih untuk membuat pengeluaran KWSP bagi mewujudkan pemangkin masa depan, namun, kebanyakannya menggunakan wang itu untuk melunaskan hutang tertunggak.

Sama ada suka atau tidak, mengumpulkan semula wang yang dikeluarkan itu akan mengambil masa.

Simpanan berskala kecil, pendigitan pelaburan

Walaupun mewujudkan penampan kewangan berkemungkinan sukar dalam persekitaran hari ini, syarikat pelaburan dan bank telah meluaskan rangkaian medium mereka untuk membolehkan orang ramai menyimpan dalam skala yang kecil menerusi simpanan digital.

Sebagai contoh, Principal Asset Management dengan kerjasama e-dompet Touch’n Go membolehkan kita untuk melabur dan menerima pulangan harian, aplikasi mudah alih Maybank membolehkan pengguna untuk mewujudkan dana kecemasan, dan Raiz– platform pelaburan di bawah Permodalan Nasional Bhd — membolehkan pengguna untuk menyimpan duit kecil mereka untuk digunakan apabila diperlukan kelak.

Walaupun pengurusan dana masih terlalu menumpukan kepada kaedah tradisional dan kebanyakannya memerlukan pelaburan kemasukan yang tinggi, Principal Asset Management berkata, ia telah mengambil langkah ke arah mendigitalkan pelaburan dan membenarkan pelaburnya untuk mempunyai lebih kawalan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Munirah Khairuddin berkata, pandemik telah mempercepatkan kadar penggunaan penyelesaian pelaburan digital, sekali gus memberikan akses dan kemudahan kepada lebih ramai individu untuk melabur dan membuat lebih banyak simpanan demi kesejahteraan kewangan mereka.

“Kami komited untuk menawarkan lebih banyak penyelesaian inovatif yang menumpukan kepada kemampuan, simpanan dan pelaburan, dan keterangkuman, di samping menjadikan pelaburan mudah difahami dan membantu pelanggan mengharungi perjalanan pelaburan mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, melalui usaha ini, pelabur kini boleh menggunakan kepakaran pengurusan persaraan dan aset secara digital dari Principal dan melabur menggunakan wang atau dana KWSP mereka, memperkasa diri untuk mengawal pelaburan dengan lebih baik.

Bercakap mengenai kewangan merupakan tajuk yang sensitif pada masa ini, dan kebenarannya mungkin sukar untuk ditelan.

Dalam situasi yang sukar ini, marilah kita bersama-sama memastikan kita mendapat perlindungan yang lebih baik untuk berdepan bukan sahaja persaraan, malah, pelbagai cabaran yang mungkin bakal ditempuh.

– BERNAMA


Pengarang :