Mangsa banjir mula membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur selepas banjir surut di Kampung Bukit Gemuroh, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 1 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Terengganu meningkat, Kelantan menurun

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat manakala Kelantan terus mencatatkan penurunan pagi ini.

Di Terengganu, jumlah penduduk dipindahkan terus meningkat kepada 17,742 orang daripada 4,557 keluarga setakat 8 pagi berbanding 14,393 orang daripada 3,744 keluarga malam tadi.

Peningkatan itu berikutan pemindahan penduduk di kampung-kampung terletak berhampiran muara sungai berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku malam tadi terutama di daerah Kemaman.

Ketika ini terdapat 141 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu 26 di Besut, Dungun (29), Kemaman (27), Hulu Terengganu dan Setiu masing-masing 21, Kuala Terengganu (sembilan), Kuala Nerus (tujuh) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah tertinggi mangsa di PPS ialah di Kemaman iaitu seramai 8,027 orang, diikuti Hulu Terengganu (3,700), Dungun (2,988), Besut (908), Setiu (848), Kuala Terengganu (728), Kuala Nerus (538) dan Marang (lima).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan kebanyakan sungai semakin surut dengan ketika ini hanya Sungai Kemaman di Kemaman dan Sungai Dungun di Dungun masih melebihi paras bahaya.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan penurunan apabila seramai 7,625 orang daripada 2,483 keluarga berada di PPS setakat 8 pagi berbanding 8,054 orang daripada 2,600 keluarga malam tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 46 PPS dibuka melibatkan 21 di Pasir Mas, Tanah Merah (sembilan), Kuala Krai (tujuh), Pasir Puteh (enam), Machang (dua) dan Jeli (satu).

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS menerusi laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai utama di negeri itu berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan 23.10 meter manakala Sungai Kelantan di Temangan, Machang mencatat 16.99 meter.

– BERNAMA


Pengarang :