Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM), Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir dalam misi bantuan pascabanjir di Masjid Darul Falah, Kampung Bukit Hijau, Kuala Selangor pada 2 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mangsa banjir Kuala Selangor terima bakul makanan, peralatan elektrik

KUALA SELANGOR, 2 MAC: Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) menyumbang bakul makanan kepada 100 penduduk Kampung Bukit Hijau dan Kampung Parit Mahang, dekat sini yang menjadi mangsa banjir pada Disember tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata bantuan berkenaan merupakan sebahagian RM500,000 yang disumbang Xiaomi Malaysia.

“Kami turut menyerahkan barangan mandi serta sabun membasuh baju. Diharap inisiatif dapat membantu dan meringankan beban mangsa,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan pascabanjir di Masjid Al Falah, Kampung Bukit Hijau hari ini.

Puteri Sultan Selangor itu turut meluangkan masa menyantuni mangsa banjir di rumah selain turut menyerahkan peralatan elektrik antaranya mesin basuh dan peti ais.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta menjayakan Bantuan Selangor Bangkit bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai kepada isi rumah dan waris korban banjir.


Pengarang :