EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjawab soalan pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 18 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Masalah ekonomi, kepadatan penduduk, cabaran persekitaran punca kes cerai tinggi

SHAH ALAM, 18 MAC: Kepadatan penduduk dan cabaran persekitaran yang dihadapi di Lembah Kelang dikenal pasti antara punca berlakunya penceraian yang tinggi di Selangor.

EXCO Hal-Ehwal Agama Islam berkata sebanyak 6,299 kes penceraian direkodkan di Selangor sepanjang 2021, iaitu berdasarkan pendaftaran penceraian di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Menurut Mohd Zawawi Ahmad Mughni daerah yang mencatatkan kes cerai tertinggi adalah Petaling iaitu 1,668 kes selepas perintah penceraian dikeluarkan Mahkamah Syariah.

Katanya, ia diikuti Hulu Langat dengan 1,303 kes, Gombak (960), Klang (878), Kuala Langat (407), Sepang (362), Kuala Selangor (314), Hulu Selangor (297) dan Sabak Bernam (120).

“Terdapat beberapa faktor dikenal pasti menjadi punca kadar penceraian yang tinggi diputuskan oleh Mahkamah Syariah antaranya kepadatan penduduk dan cabaran persekitaran yang dihadapi di Lembah Klang.

“Selain itu, migrasi penduduk dari negeri lain ke Selangor, ekonomi suami yang tidak stabil hingga menghadapi tuntutan isteri kerana gagal memberi nafkah, sosialisasi yang terbuka dan kegagalan menjadikan agama sebagai cara hidup dalam berumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Ahmad Mustain Othman mengenai bilangan kes cerai di Selangor pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Mohd Zawawi berkata keberkesanan kursus pra perkahwinan Islam (KPPI) bukan faktor yang boleh dikaitkan dengan kadar perceraian tinggi atau rendah kerana ia adalah kursus awal yang dihadiri peserta yang akan berkahwin.

“Kegagalan pihak mengurus masalah yang timbul dalam perkahwinan adalah punca kepada sesebuah perkahwinan berakhir dengan penceraian,” katanya.


Pengarang :