Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad (kanan) menerima replika foto Masjid Klang Gate Hulu Klang daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Ir Lokman Nasir. Foto Jais
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Masjid Klang Gate bakal dibuka semula, muat 2,000 jemaah

SHAH ALAM, 3 MAC: Masjid Klang Gate, Hulu Klang bakal beroperasi semula tidak lama lagi, selepas ditutup lebih tiga tahun untuk projek pembinaan semula sejak Februari 2018.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pembinaan masjid itu siap sepenuhnya pada 20 Disember lalu dengan kos lebih RM19.5 juta.

“Syukur Alhamdulillah akhirnya masjid ini berjaya disiapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan diserahkan kepada Jais semalam.

“Jais berharap ia dapat memberi keselesaan kepada penduduk setempat untuk menunaikan ibadah, selain menjadi pusat setempat menuntut ilmu, kegiatan ekonomi dan sosio budaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain ruang solat utama yang mampu memuatkan 2,000 jemaah pada satu-satu masa, masjid ini juga dilengkapi bilik pengurusan jenazah, pejabat pentadbiran, empat unit kuarters bilal dan imam serta tempat letak kenderaan iaitu 50 untuk kereta dan 70 untuk motosikal.

Ia turut dilengkapi kemudahan madrasah dengan enam kelas bagi menempatkan 150 pelajar dan guru serta kemudahan lain seperti rumah sampah, rumah pam dan kolam tadahan.

Pada majlis penyerahan semalam, Mohd Shahzihan turut menerima replika foto masjid itu daripada Pengarah JKR Selangor Ir Lokman Nasir sebagai simbolik penyerahan.

 


Pengarang :