EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (dua,kiri) menyerahkan bakul makanan kepada wakil Tok Batin Kamarul Abdullah (tengah) di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang pada 4 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAEXCOSELANGOR

Masyarakat Orang Asli luah syukur terima bakul makanan, jimat belanja dapur

PELABUHAN KLANG, 5 MAC :Masyarakat Kampung Orang Asli di Sungai Dua, Pulau Ketam di sini meluahkan kesyukuran selepas menerima bantuan bakul makanan sekali gus meringankan beban mereka.

Wakil Tok Batin  Kamarul Abdullah berkata penduduk di kampung tersebut amat mengharapkan sumbangan berkenaan terutama dalam tempoh pandemik ketika ini.

Wakil Tok Batin Kamarul Abdullah. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dengan bantuan bakul makanan ini sekurang-kurangnya dapat menjimatkan belanja dapur dalam tempoh sebulan hingga dua bulan, jadi buat sementara ini tidak perlu ke pekan untuk beli barangan keperluan.

“Terima kasih Kerajaan Selangor termasuk badan bukan kerajaan yang tidak putus-putus membantu penduduk Orang Asli,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berhubung inisiatif Kerajaan Selangor mahu menaik taraf perkampungan dan kediaman Orang Asli, Kamarul menyambut baik dan berharap lebih banyak kemudahan dapat dirasai selepas ini.

“Kita berharap Kerajaan Negeri dapat beri perhatian terutama melibatkan infrastruktur seperti jeti di sini yang hampir roboh dan mengundang bahaya kerana ia merupakan laluan utama kami.

“Harap juga kerajaan dapat meneliti untuk membina tangki air kerana adakalanya hampir dua bulan kami terputus bekalan air,” katanya yang bekerja sebagai nelayan.

Terdahulu EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian mengadakan lawatan dan agihan bakul makanan kepada penduduk Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam.


Pengarang :