Grafik Media Selangor
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

‘Matahari’ buatan China, haba lima kali ganda

Penyelidik kedoktoran di Universiti Teknologi Mara, Zamir Mohyedin mengupas perihal mesin yang menjana haba lima kali ganda daripada matahari sebenar. Berikut pandangan beliau: 

China berjaya memecahkan rekod dunia apabila mesin matahari buatannya (artificial sun) berupaya menjana tenaga bersuhu sehingga 70 juta darjah Celsius (5 kali ganda lebih panas daripada matahari) dalam tempoh 17 minit.

Matahari buatan adalah sejenis reaktor nuklear. Projek pembinaan reaktor ini telah bermula sejak 2003 lagi dan menelan belanja sebanyak 1 trilion dolar.

Reaktor ini dipanggil matahari buatan kerana keupayaannya untuk meniru proses semula jadi pelakuran nuklear yang berlaku pada matahari. Matahari dapat hidup dan menjana tenaga kerana proses pelakuran nuklear.

Pelakuran nuklear adalah proses menggabungkan atom-atom ringan seperti hidrogen dan helium. Pelakuran atom-atom ringan ini menghasilkan tenaga yang amat kuat.

Terdapat dua kaedah penjanaan tenaga berasaskan nuklear iaitu pembelahan nuklear dan pelakuran nuklear. Pembelahan nuklear merupakan proses membelah atom-atom berat seperti uranium dan plutonium.

Proses ini pernah digunakan untuk menghasilkan bom atom yang pernah meletupkan Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada fasa akhir Perang Dunia Kedua. Pada hari ini, reaktor penjanaan tenaga berasaskan pembelahan nuklear telah banyak dibangunkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Perancis.

Pada 2021, sebanyak 32 buah negara di seluruh dunia telah membangunkan 443 reaktor nuklear untuk menjana tenaga.

Penjanaan tenaga berasaskan nuklear adalah projek yang mahu dicapai oleh ramai saintis kerana lebih bersih dan selamat, terutamanya tenaga pelakuran nuklear.

Keburukan minyak dan arang

Pada zaman ini, banyak penjanaan tenaga berasaskan minyak dan arang yang merangkumi 79 peratus daripada sumber tenaga dunia. Menghidupkan lampu, penghawa dingin, komputer dan pelbagai lagi mesin serta perkakas elektrik, sumber tenaganya banyak daripada arang.

Penggunaan minyak dan arang banyak keburukannya. Tidak bersih, mengakibatkan pencemaran, penghasilan tenaganya pun tidak secekap tenaga nuklear.

Sekitar 2040, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyasarkan untuk menghentikan penggunaan arang sebagai sumber tenaga di seluruh dunia.

Tambahan lagi, sumber untuk menjana tenaga nuklear lebih banyak berbanding arang. Malah, jika dibuat perbandingan antara penjanaan tenaga nuklear, sumber bagi penjanaan tenaga pelakuran nuklear lebih banyak dan mudah didapati iaitu hidrogen berbanding sumber penjanaan tenaga pembelahan nuklear.

Selain itu, janaan tenaga daripada proses nuklear jutaan kali lebih kuat daripada janaan tenaga konvensional dan empat kali lebih kuat daripada pembelahan nuklear.

Selain daripada janaan tenaganya yang lebih tinggi, pelakuran nuklear juga hampir tidak mempunyai sisa yang perlu diuruskan. Tenaga pembelahan nuklear menghasilkan sisa yang perlu diuruskan dan tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Sisanya mengambil tempoh ribuan, malah puluh ribuan tahun untuk mereput dan melepaskan sinaran radioaktif yang berbahaya kepada umum.

Sisa pelakuran nuklear pula teramat rendah dan kurang beradioaktif. Malah, tempoh pereputannya sekitar 50 tahun – jangka hayat yang begitu mudah untuk diuruskan.

Penggunaan tenaga ini dapat memberikan manfaat kepada manusia keseluruhannya. Bahkan manfaatnya begitu besar berikutan tahap populasi manusia dan penggunaan teknologi semakin meningkat saban tahun. Senario ini memerlukan sumber tenaga yang lebih besar.

Reaktor pelakuan nuklear menggunakan haba plasma dan tekanan yang amat kuat ke atas atom-atom hidrogen untuk membolehkan atom-atom ini berlakur atau bergabung.

Haba yang dikenakan melebihi 150 juta darjah Celsius, hampir 10 kali ganda lebih panas daripada suhu matahari. Sebab itulah antara cabaran terbesar untuk menjayakan reaktor pelakuran nuklear ialah keupayaan untuk hasilkan suhu dan tekanan yang tinggi bagi membolehkan berlakunya proses pelakuran nuklear.

Kemudian, cabarannya lainnya adalah keupayaan untuk menampung suhu yang tinggi itu. Medan magnet yang begitu kuat digunakan untuk mengelakkan haba ini menyentuh dinding reaktor.

Tenaga yang terhasil daripada pelakuran nuklear akan menjadi sumber penjanaan tenaga elektrik bagi kegunaan ramai orang.

Pada masa hadapan, kita menjangkakan lebih banyak tenaga nuklear digunakan bagi memulihkan pencemaran alam semulajadi dan bagi menampung penggunaan tenaga yang lebih tinggi kelak.


Pengarang :