Selangor akan memasang 1,553 struktur rangkaian 5G bagi fasa dua di lima daerah pada tahun ini bagi memberi perkhidmatan kelajuan jalur lebar 10 gigabit per saat (gbs). Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: 1,553 struktur rangkaian 5G dipasang tahun ini

SHAH ALAM, 21 MAC: Sebanyak 1,553 struktur rangkaian 5G akan dipasang di Selangor tahun ini bagi memberi perkhidmatan kelajuan jalur lebar 10 gigabit per saat (gbs).

Pemasangan fasa dua membabitkan 560 tapak di Petaling, Hulu Langat (345), Klang (272), Gombak (191) dan Sepang (185), kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjelaskan pemasangan 28 tapak pemancar telekomunikasi di Cyberjaya berjaya disiapkan bagi Fasa 1A berdasarkan data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sehingga Februari.

“Teknologi 5G mampu memberi perkhidmatan kepada sejuta peranti bagi setiap satu kilometer persegi,” katanya menjawab pertanyaan wakil rakyat Sementa Dr Daroyah Alwi berhubung perkembangan jaringan capaian liputan 5G dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin menambah SmartSel Sdn Bhd (SmartSel) sedang merangka cadangan kerjasama dengan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk memperluas perkhidmatan itu di kawasan tumpuan.

“Secara keseluruhannya, projek ini bawah DNB dan kita hanya bekerjasama dengan mereka untuk memanjangkan terutama di kawasan penumpuan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan pemasangan struktur rangkaian itu dibuat secara berhati-hati mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dan lunas undang-undang.

“5G memerlukan rangkaian atau kedekatan antara satu pemancar ke satu pemancar yang lebih dekat dan rendah sebab ia ‘manja’. Jarang boleh tembus dinding, cermin serta mudah terpantul,” katanya.

 


Pengarang :