Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggulung usul titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 18 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Ada berita baik untuk industri hiburan, Selangor prihatin cabaran dihadapi artis

SHAH ALAM, 18 MAC: Keputusan sama ada Selangor mengurangkan atau mengecualikan cukai hiburan sepanjang 2022 akan dimuktamadkan sebelum 1 April ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu perlu dibincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu bagi mendapatkan data dan perincian.

“Kerajaan Negeri menginsafi cabaran dihadapi artis tempatan dalam bidang pementasan secara langsung. Insya-Allah ada berita baik buat industri ini.

“Kita ada dua pilihan sama ada turunkan (cukai) lima peratus atau kecualikan sepanjang 2022, tetapi untuk panggung wayang kekal pada angka diumum sebelum ini

“Selepas kita amati, persembahan pentas tidaklah memberi sumbangan signifikan kepada keseluruhan nilai cukai hiburan yang kita kutip,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan kutipan cukai hiburan di negeri ini berdasarkan dua aspek meliputi aktiviti bertiket dan aktiviti tidak bertiket.

“Aktiviti bertiket membabitkan panggung wayang, taman tema dan pertunjukan hiburan dengan caj cukai hiburan dikenakan terhadap pembeli sebagai tambahan kepada harga tiket tersebut.

“Bagi aktiviti tidak bertiket pula, ia merangkumi permainan hiburan, pameran dan kebudayaan, pertandingan sukan, hiburan kelab malam, pusat hiburan keluarga, snuker, boling dan pertunjukan pentas,” katanya.

Semalam, wakil rakyat Bandar Utama menyaran Kerajaan Negeri mengurangkan duti hiburan khususnya terhadap artis tempatan serendah mungkin bagi membantu golongan itu yang masih terkesan akibat Covid-19.

Jamaliah Jamaluddin berkata tempoh dua tahun pandemik menjejaskan pendapatan serta kelangsungan hidup bukan sahaja membabitkan artis tempatan malah kru belakang tabir industri hiburan.


Pengarang :