Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau lokasi kejadian runtuhan tanah di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Bantuan segera RM10,000 kepada waris mangsa maut tanah runtuh

AMPANG JAYA, 11 MAC : Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan segera sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan diberi kepada waris mangsa yang meninggal dunia terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada mangsa lain yang turut terjejas dengan insiden tersebut.

“Setakat ini, kita tumpu untuk memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada waris yang ahli keluarganya meninggal dunia.

“Untuk rumah dan mangsa lain yang turut terjejas, kita akan kaji semula bentuk bantuan yang boleh diberikan kerana buat masa ini kita mahu memastikan keadaan di sini selamat dan boleh diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan di lokasi tanah runtuh hari ini.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar turut mendengar taklimat oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan bomba berhubung kejadian tersebut.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.


Pengarang :