Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 17 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Kenal pasti penduduk duduki tanah kerajaan, tawar hak milikan

SHAH ALAM, 17 MAC: Pejabat Tanah dan Galian Selangor diminta mengenal pasti penduduk yang tinggal di tanah milik kerajaan bagi proses tawaran pemilikan tanah.

Dato’ Menteri Besar berkata kaedah tersebut lebih baik berbanding menunggu mereka hadir ke pejabat untuk tujuan permohonan dan secara tidak langsung mewujudkan situasi lebih telus.

“Kita minta Pejabat Tanah dan Galian fikirkan jangan tunggu orang datang. Kita kena tawarkan atau kita kena buat kajian… ia lebih jitu serta wujud ketelusan dalam pentadbiran berbanding sebaliknya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan mengenai pemberi milikan tanah kerajaan kepada warga Selangor dan mereka yang menetap di negeri ini yang belum memiliki tanah.

Amirudin berkata ketika ini Kerajaan Negeri bertindak berdasarkan pekeliling Pengarah Galian Selangor Bilangan 6 Tahun 2011 yang menyatakan garis panduan skim pemilikan tanah kerajaan untuk tujuan pembangunan kediaman persendirian di Selangor serta Pekeliling Pengarah Galian Selangor Bilangan 3 Tahun 2020 iaitu dasar baru pemberi milikan tanah kerajaan untuk menjadikan panduan berhubung perkara itu.

“Apa yang berlaku pada 2008 sampai 2019 kita memutih dan memulihkan pemberi milikan tanah ke atas bangunan yang telah didirikan di tanah yang dulu kita panggil sebagai setinggan, peneroka bandar atau rumah tidak tentu sah milik.

“Apa yang kita lakukan pada ketika itu ialah memberi premium nominal RM1,000 sebagai cagaran atau bayaran awal dan nilai itu perlu dibayar balik apabila mereka menjual atau menggadai tanah tersebut.

“Pada 2020 kita keluarkan pekeliling melanjutkan pemilikan tersebut… kalau sebelum ini pemberi milikan RM1,000 pelanjutan kita naikkan menjadi RM5,000 kerana ia diwariskan kepada anak cucu cicit dan juga kelompok masing-masing,” katanya.


Pengarang :