Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau lokasi kejadian runtuhan tanah di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

MB: Penduduk dinasihat berpindah hingga hasil kajian tanah runtuh diperoleh

HULU SELANGOR, 12 MAC: Dato’ Menteri Besar sekali lagi menasihatkan penduduk di Taman Bukit Permai 2, Ampang supaya segera berpindah buat sementara waktu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata permintaan itu dibuat kepada 48 penghuni unit kediaman di kawasan tanah runtuh berkenaan.

“Tempoh perpindahan tidak lama kira-kira tiga hingga empat hari atau maksimum lima hari, sehingga kita memperoleh kebenaran daripada pihak terbabit mengenai tahap keselamatan cerun yang runtuh.

“Jika kajian mendapati ia selamat untuk diduduki, mereka boleh balik ke kediaman masing-masing dan operasi pemulihan di lokasi tanah runtuh akan dijalankan segera.

“Bagaimanapun, saya minta mereka mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya mahu terus berada di rumah masing-masing kerana lokasi itu masih berisiko,” katanya ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu kajian oleh Jabatan Kerja Raya, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berhubung insiden itu.

“Mereka meminta tempoh tiga hari dan selepas itu kita akan meneliti tindakan selanjutnya, termasuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan cerun yang tidak dapat dilakukan sekarang.

“Mengenai 150 cerun yang dikenal pasti berisiko berlakunya tanah runtuh, perkara ini akan dibincangkan seperti isu menangani banjir. Kita dalam proses memantau cerun-cerun dan bagaimana hendak menanganinya khusus ketika berdepan dengan perubahan iklim serta cuaca tidak menentu,” katanya.

Semalam, selepas membuat tinjauan kira-kira setengah jam di lokasi tanah runtuh, Amirudin memaklumkan tiada sebarang aktiviti mencurigakan atau pembalakan berlaku.

Kejadian di Taman Bukit Permai 2, Ampang itu meragut empat nyawa manakala seorang mangsa cedera ringan, selain mengakibatkan 15 rumah dan 10 kenderaan terjejas.


Pengarang :