Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Johary Anuar (dua, kanan) menyampaikan anugerah kepada penerima ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSJ 2021 di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam pada 25 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Penjawat awam perlu miliki sifat tahan uji, sentiasa bersedia

SHAH ALAM, 26 MAC: Penjawat awam diseru mempunyai sifat tahan uji dan sentiasa bersedia dalam menghadapi segala rintangan ketika menjalankan tugas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka juga harus keluar daripada zon selesa dan tidak boleh hanya tertumpu kepada satu-satu bidang sahaja.

“Ia akan menyebabkan kita tidak saling bantu-membantu dan melengkapi antara satu sama lain sehingga apabila berlaku sebarang krisis atau bencana kita seolah dalam keadaan tidak bersedia.

“Justeru, perkara ini perlu kita pertingkatkan pada waktu ini iaitu bersedia dengan cabaran baharu yang pada bila-bila masa boleh datang seperti banjir mahupun pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSJ 2021 di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam pada 25 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada masa sama, Amirudin menjelaskan sebagai penjawat awam perlu ada sifat ingin tahu dalam diri kerana ia merupakan kunci kecemerlangan dalam sesebuah organisasi.

“Saya tidak minta jadi profesor atau orang serba tahu tetapi pada waktu ini kita perlu menjadi orang ambil tahu mengenai diri kita, orang lain dan situasi sekeliling kerana sikap ini mungkin membuatkan kita lebih bersedia,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada penerima APC termasuk berterima kasih kepada kakitangan bersara dan banyak menyumbang bakti terutama dalam membangunkan Selangor.

“Tahniah saya ucapkan terhadap usaha dan peranan dilaksanakan dalam menaikkan Selangor, MBSJ dan jabatan saudara-saudari sekalian. Teruskan usaha dan semoga menjadi penyuntik semangat buat yang lain,” katanya.


Pengarang :