Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada penduduk terkesan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: RM132.628 juta bantuan banjir disalur ke pejabat tanah daerah

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri menyalurkan dana Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM132.628 juta ke semua pejabat tanah dan daerah (PTD) setakat ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM118.250 juta selesai disalur kepada keluarga terjejas banjir pada Disember lalu, menjadikan baki di PTD RM14.378 juta.

“Maknanya dengan berbaki 8,000 keluarga kita perlukan sekitar RM8 juta. Katakanlah ada sedikit yang terlepas, kita masih mempunyai RM14 juta dalam saku PTD.

“Justeru, (peruntukan) cukup serta telah diagih di peringkat daerah baik Petaling, Klang, Hulu Langat dan Kuala Langat,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menjawab pertanyaan wakil rakyat Sementa Dr Daroyah Alwi, Amirudin mengakui kelewatan agihan bantuan kepada mangsa disebabkan permohonan bertindih selain dihantar berulang kali yang memerlukan proses semakan.

“Kadang-kadang terlewat sebab kita perlu mengatur dan menyelaras. Sebelum ini Kerajaan Negeri menyalurkannya bersama-sama Bantuan Wang Ihsan.

“Sekarang kita sudah tidak anjur agihan di dewan-dewan, cuma baki (belum yang belum menerima BSB) akan dihubungi secara terus dan turut ditawar penghantaran melalui akaun,” katanya.

Kerajaan Selangor mengumumkan dana RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Bantuan yang diumumkan pada 21 Disember itu memberi manfaat kepada 114,081 ketua isi rumah.

Setakat 28 Februari lalu, Klang mencatat jumlah penerima paling ramai iaitu 60,427 isi rumah diikuti Petaling (20,948 penduduk) dan Kuala Langat (10,904 orang).

Sebanyak 7,834 keluarga di Hulu Langat; 6,878 (Sepang), 5,915 (Kuala Selangor) dan 1,041 (Gombak) turut mendapat bantuan tersebut.


Pengarang :