Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas penangguhan sesi sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 21 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor bawa usul tambah kerusi DUN pada sidang akan datang

SHAH ALAM, 21 MAC: Selangor akan membawa usul menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangan akan datang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi mewujudkan keseimbangan dalam kalangan jumlah pengundi di kawasan bandar dan luar bandar supaya masing-masing mendapat perkhidmatan sama adil.

Menurutnya taklimat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan diadakan pada 30 Mac ini bagi meneliti cadangan berhubung perkara tersebut.

“Daripada taklimat itu kita akan dapat maklumat lebih lanjut dan teliti untuk melihat cadangan kedua-dua pihak (Kerajaan Negeri dan SPR).

“Apabila selesai dan dimuktamadkan, kita akan bawa ke sidang DNS. Kita perlukan dua per tiga majoriti, selepas lulus baru bawa ke parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penangguhan sidang DNS di sini hari ini.

Beliau menjelaskan kerusi DUN yang memiliki bilangan pengundi lebih 75,000 dijangka mengalami perubahan tersebut, namun segala keputusan bergantung kepada SPR.

“Setakat ini (kawasan) yang ada lebih 75,000 pengundi akan menjadi tumpuan dan mungkin kita gabungkan atau jadikan dua atau tiga (kerusi). Ada (kawasan) yang cecah lebih 100,000 ribu dengan paling banyak di Kinrara.

“Paling tidak kita perlu ada persefahaman dulu sebab bukan mudah mahu tambah kerusi (DUN). Kena lihat penggajian ADN dan elaun pencen, ini semua akan dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan usul tersebut sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU), namun ia bergantung kepada tempoh masa yang perlu diambil bagi proses berkenaan.

“Kelulusan Dewan Rakyat akan membolehkan kerusi-kerusi ADN digunakan jika PRU diadakan. Jadi, hal ini mungkin mengambil sedikit masa tetapi harapan kita agar ia dapat dilaksanakan,” katanya.


Pengarang :