Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 18 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Selangor teruskan agenda kembang karya tempatan

SHAH ALAM, 18 MAC: Kerajaan Selangor akan meneruskan agenda pembangunan dan perkembangan karya tempatan merangkumi aspek pendidikan, sejarah, kesenian serta kebudayaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu bertujuan melahirkan lebih ramai pengkarya genius tempatan khususnya anak muda.

“Rancangan diatur adalah meneruskan hubungan baik dengan sasterawan dan pengkarya tempatan dalam menjadikan Selangor negeri mesra golongan berkaitan.

“Selain itu, penganjuran kelas master dan sasterawan sebagai mentor kepada pengkarya muda,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Amirudin menambah PPAS turut memulakan inisiatif membangun dan mengembangkan projek penghasilan karya rakyat kerana menyedari aktiviti seumpama itu giat dilaksanakan di Jepun serta Korea.

Menurutnya, antara usaha tersebut ialah video resensi buku iaitu ulasan berbentuk video bagi mencetuskan minat membaca dan berkongsi dengan khalayak umum.

“Ia termasuk mewujudkan perpustakaan tokoh dalam kalangan ahli akademik tersohor atau intelektual awam yang memiliki koleksi khusus.

“PPAS juga menganjurkan seminar serta rakaman wawancara lisan dan perkongsian tokoh tempatan termasuk rakyat setempat mengenai pengalaman peribadi serta peristiwa sejarah,” katanya.


Pengarang :