Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menyerahkan sijil Anugerah Khas Datuk Bandar kepada pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Azmi Amer Khan (tengah) sambil disaksikan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor (kiri) sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 MBSA di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 29 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPBTSELANGOR

MB: Sifat saling mengingati bantu organisasi terus cemerlang

SHAH ALAM, 30 MAC: Dato’ Menteri Besar meminta penjawat awam di negeri ini supaya mengamalkan sifat saling mengingati antara satu sama lain.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata amalan itu perlu ditekankan dalam setiap organisasi kerana ia mampu memastikan sesebuah jabatan itu sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

“Kita perlu terus memandang ke depan dengan bukan sahaja lebih anjal mendepani krisis tetapi tidak melupakan kredibiliti penjawat awam yang selalu digambarkan lemah, culas dan cuai dalam menjalankan tanggungjawab.

“Perkara ini boleh ditangani dengan tindakan kelompok yang tidak mahu terlibat perlu memainkan peranan dengan melaporkannya supaya integriti, ketelusan dan kredibiliti jabatan terus berjaya,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA di sini, semalam.

Amirudin turut menyeru penjawat awam supaya tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian dikecapi sebaliknya harus menanam sikap sentiasa maju ke hadapan dan memperbetulkan kesilapan.

“Selain itu, saya berharap Skuad Pasukan Tindak Segera (Pantas) dapat dikukuhkan dan belajar dari semasa ke semasa supaya dapat menangani apabila bencana berulang,” katanya.

Terdahulu, seramai 121 kakitangan MBSA menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021. MBSA turut memberi Anugerah Khas Perkhidmatan kepada 24 individu.

Dua kakitangan MBSA menerima Anugerah Khas Datuk Bandar iaitu pemangku pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSA Datuk Ir Ts Hanif Basree Abdul Rahman dan penolong pegawai tadbir Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Wan Suraya Sahabaludin.

Turut menerima anugerah sama bagi kategori Jabatan Cemerlang iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.


Pengarang :