Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Ihya Ramadan di Surau An Jannah, Gombak pada 25 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: SOP tarawih, aktiviti imarah masjid lebih longgar tahun ini

GOMBAK, 25 MAC: Tatacara operasi piawai (SOP) bagi solat tarawih dan pengimarahan masjid serta surau sempena Ramadan kali ini dijangka lebih longgar berbanding tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kaedah pelaksanaan dalam peringkat akhir dan akan diumum Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak lama lagi.

“Jais telah bentangkan tetapi bukan bidang saya untuk umumkannya, hal ehwal tersebut mungkin dalam penelitian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Berbanding tahun-tahun sebelum ini, kali ini lebih longgar dan boleh dilaksana dengan lebih baik,” katanya ditemui pada Program Ihya Ramadan di Surau An Jannah, Taman Jasa Utama di sini hari ini.

Dalam program berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan van jenazah kepada surau terbabit dan komputer riba kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan solat jemaah di masjid dan surau boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal mulai 1 April.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan SOP untuk rumah ibadat tertakluk ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.


Pengarang :