Pengunjung beratur membeli makanan di bazar Ramadan berhampiran Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam pada 21 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

MB: Tapak bazar Ramadan ditambah elak sesak, penularan wabak

KAJANG, 26 MAC: Pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan lebih banyak tapak bazar Ramadan tahun ini bagi mengelak kesesakan pengunjung serta penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat sebelum kerajaan persekutuan mengumumkan peralihan fasa endemik bermula 1 April ini.

“Kita sudah bincang untuk buka bebepa sektor ekonomi dan ini antaranya termasuk operasi pasar pagi. Kita juga tetapkan laluan keluar masuk berasingan.

“Berdasarkan pengalaman, kita bukan hanya perlu tambah gerai jualan tetapi juga tapak bazar supaya orang ramai ada banyak pilihan. Jadi tak sesak dengan pengunjung,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama Jawatankuasa Masjid Baiturrahman Alam Sari hari ini.

Semalam EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberitahu sebanyak 11,967 petak bazar Ramadan di 12 pihak berkuasa tempatan ditawarkan kepada peniaga tahun ini.

Setakat ini, sebanyak 9,720 daripada 10,783 permohonan diluluskan dengan Majlis Perbandaran Selayang mencatat bilangan tertinggi 2,219 diikuti Majlis Perbandaran Kajang (1,790) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (1,031).

Amirudin berkata susulan peralihan fasa endemik minggu depan, pihaknya akan terus memantau tahap vaksinasi penduduk memandangkan suntikan pelalian mampu mengurangkan risiko jangkitan serta jumlah kematian.

“Lepas ini akan pantau penularan dalam kalangan pelajar. Kita risau kerana jumlah penerima kanak-kanak rendah dan ramai masih tidak ambil vaksin,” katanya.


Pengarang :