Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) meninjau lokasi insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL SELANGOR

MB: Waris mangsa maut akibat tanah runtuh terima bantuan minggu depan

HULU SELANGOR, 12 MAC: Kerajaan Negeri akan segera menyalurkan bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini kelmarin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bayaran itu akan dibuat kepada keluarga mangsa selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu.

“Fokus utama kita adalah memastikan kawasan insiden selamat dan diikuti dengan bantuan. Ketika bencana, langkah awal adalah menyelamatkan nyawa dan kemudiannya sumbangan serta sokongan kepada keluarga dan waris mangsa terjejas.

“Jumlah keseluruhan bantuan perlu diputuskan tetapi yang pasti keluarga mangsa yang meninggal dunia akan menerima RM10,000 dan ia akan diserahkan dalam tempoh seminggu,” katanya ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini.

Semalam, ketika meninjau lokasi tanah runtuh Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan mengagihkan bantuan segera sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut.

Bantuan diberi kepada waris mangsa yang meninggal dunia terlebih dahulu dan diikuti mangsa lain yang turut terjejas dengan insiden tersebut.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa manakala seorang lagi cedera ringan dan mengakibatkan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula jam 5.54 petang.


Pengarang :