Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 15 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB yakin bekalan vaksin negeri dapat dihabiskan, bakal tawar kepada kanak-kanak

SHAH ALAM, 15 MAC: Lebihan pelalian Sinovac yang dibeli Kerajaan Negeri bagi program Vaksin Selangor (Selvax) akan digunakan untuk suntikan kanak-kanak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut yakin baki 200,000 vaksin yang dibeli tahun lalu dapat dihabiskan sebelum tarikh luput.

“Baki ini kita peroleh selepas selesai 150,000 dos yang diperuntuk kepada Selvax Booster. Sekarang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) luluskan Sinovac untuk kanak-kanak, jadi kita akan peruntuk sedikit kepada program percuma ini,” katanya.

Bercakap pada sesi soal jawab di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, beliau menambah Selgate Healthcare Sdn Bhd merangka beberapa strategi jika bekalan vaksin tidak habis digunakan.

Jelas Amirudin, ia termasuk jualan kepada negeri dan negara lain susulan permintaan tinggi terhadap bekalan pelalian di seluruh dunia ketika ini.

“Kalau tidak pun permintaan dari Indonesia, Filipina juga boleh sebab jangka hayat tiga tahun. Kita juga boleh pakejkan untuk pelabur ke negara yang iktiraf Sinovac seperti China,” katanya.

Kerajaan Selangor memperuntuk lebih RM200 juta untuk melaksanakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Pada 7 Oktober 2021, Kerajaan Negeri mengumumkan program tersebut diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian manakala Selvax Booster ditawarkan beberapa bulan selepas itu.

 

 


Pengarang :