Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Norita Mohd Sidek diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Orang Buta Malaysia, George Thomas (berdiri, kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan pada program sumbangan MBI di Kompleks MAB Brickfields, Kuala Lumpur pada 31 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

MBI: 17 OKU penglihatan terjejas banjir terima bantuan kewangan

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Seramai 17 orang kelainan upaya (OKU) terjejas bah di negeri ini menerima bantuan kewangan tambahan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata sumbangan RM500 itu adalah tambahan kepada Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bagi meringankan beban golongan berkenaan.

Katanya, bantuan kepada penerima yang layak itu segera diagihkan selepas semakan dilakukan oleh Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).

“Ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami selaras dengan slogan memacu kehidupan. Kita sedar rakyat yang ditimpa bencana sememangnya memerlukan bantuan ini.

“Jadi, kita membelanjakan RM8,500 untuk diberikan kepada mereka yang terlibat dengan harapan ia mampu menyuntik semangat untuk meneruskan kehidupan,” katanya selepas penyerahan bantuan itu di MAB, Brickfields dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua CSR MBI Ahmad Azri Zainal Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB George Thomas.

Sementara itu, George mengakui nasib individu cacat penglihatan tidak akan terbela tanpa sokongan agensi seperti MBI berikutan 65 peratus pendapatan persatuan terbabit bergantung sepenuhnya daripada sumbangan awam.

“Kita berasa bertuah sekali kerana MBI begitu prihatin terhadap rakyat Selangor khususnya golongan OKU penglihatan. Agihan bantuan sukar dilaksanakan tanpa sokongan pihak berkenaan.

“Jutaan terima kasih diucapkan kerana sudi memberi bantuan kepada 17 mangsa banjir ini,” katanya menambah lebih 3,000 individu cacat penglihatan berdaftar dengan persatuan itu sejak ditubuhkan pada 1951.


Pengarang :