Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek (kanan) menerima lukisan daripada anak-anak petugas barisan hadapan ketika majlis Apresiasi Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 23 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MBI peruntuk RM1.1 juta ringan beban 359 keluarga petugas hadapan

SHAH ALAM, 23 MAC: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM1.1 juta untuk program Cakna Anak Petugas Barisan Hadapan.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata inisiatif Kerajaan Negeri selama 10 bulan dalam membantu petugas barisan hadapan itu berjaya memanfaatkan 474 kanak-kanak melibatkan 359 keluarga.

“Pada awalnya kita sasar 400 kanak-kanak daripada 300 keluarga sahaja tetapi apabila dilaksanakan ia berjaya dan melebihi sasaran. Malah, jumlah sukarelawan bertugas di taska juga bertambah daripada 85 kepada 114 individu.

“MBI sentiasa prihatin dalam melaksanakan inisiatif strategik ini dan selaras dengan slogan syarikat iaitu memacu kehidupan. Ia adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat pelbagai peringkat di negeri ini,” kata Norita Mohd Sidek ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek bercakap kepada media selepas majlis Apresiasi Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 23 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad.

Norita menjelaskan pihaknya mengambil pendekatan serampang lima mata dalam melaksanakan program itu terutama memastikan petugas barisan hadapan dapat menumpukan tugasan tanpa perlu risau mengenai anak-anak.

“Kedua inisiatif ini membolehkan anak-anak dijaga dan diasuh dengan baik. Malah, sukarelawan bertugas adalah individu terkesan akibat Covid-19 yang diberhentikan kerja.

“Seterusnya mereka diberi kemahiran lain dalam mengasuh seperti penggunaan peti kecemasan dan pengendalian makanan. Akhir sekali operator mengendalikan taska juga antara pengusaha yang tutup perniagaan ketika pandemik,” katanya.

Pada 25 Januari tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif mewujudkan khidmat taska dan pusat jagaan sementara di hospital awam juga premis sementara secara percuma bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga petugas barisan hadapan seluruh Selangor.


Pengarang :