Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Azmir (kanan) menyampaikan baucar membeli barangan sekolah ketika program sumbangan Jom Shopping Kembali ke Sekolah anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Mydin Mall Subang Jaya, Petaling Jaya pada 3 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ agih baucar persekolahan bantu 65 keluarga B40

SUBANG JAYA, 3 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengagihkan baucar persekolahan bernilai RM300 kepada 65 keluarga berpendapatan rendah (B40) menerusi Program Jom Shopping Kembali ke Sekolah hari ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata pihaknya memperuntukan RM19,500 bagi membolehkan penerima membeli kelengkapan persekolahan seperti baju, seluar, kasut dan alat tulis.

“Agihan baucar persekolahan kepada keluarga B40 dimulakan sejak 2002. Bantuan ini kita beri sebelum mereka memulakan sesi persekolahan baharu bulan depan.

“Program ini bertepatan dengan misi MBPJ yang merancang menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya pintar, mampan dan berdaya tahan bermula 2020,” katanya ditemui selepas mengagihkan baucar di Pasaraya Mydin USJ Subang Jaya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Azmir bercakap kepada media selepas program sumbangan Jom Shopping Kembali Ke Sekolah anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Mydin Mall Subang Jaya, Petaling Jaya pada 3 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mohamad Azhan berkata program itu juga adalah selaras dengan konsep 10 Program Berimpak Tinggi (10 Thematic Project) yang dipersetujui dalam pelan pembangunan bandar memberi fokus kepada pembangunan golongan miskin bandar dan kesejahteraan komuniti.

“Kita bukan sahaja menumpukan kepada golongan pelajar sahaja tetapi turut membantu ibu tunggal dan warga emas.

“Petaling Jaya merupakan kawasan besar yang mempunyai masyarakat ekonomi tinggi dan ketinggalan. Kita berperanan membantu golongan B40 untuk menggerakkan ekonomi mereka,” katanya.


Pengarang :