Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berucap ketika majlis perasmian Pasar PJ@Kita Sri Damansara, Petaling Jaya pada 25 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBPJ fokus pembangunan mampan bentuk kehidupan masa depan

DAMANSARA, 26 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merancang pembangunan mampan membabitkan 10 tema bagi menjaga kesejahteraan hidup akan datang.

Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir berkata langkah jangka panjang menerusi Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan 2030 (PJSSR2030) itu menumpukan golongan miskin bandar, inisiatif keusahawanan dan pendigitalan.

Jelasnya, tema itu berfokus kepada aspek bandar pintar, bandar inklusif, bandar rendah karbon, bandar mesra kanak-kanak dan bandar berpelajaran.

Rancangan turut melibatkan pembentukan bandar pesat ekonomi, bandar kitaran ekonomi, bandar komuniti 5.0, bandar selamat dan berdaya tahan serta bandar e-pentadbiran.

“Untuk sektor ekonomi kita akan galakkan pelaburan dari dalam dan luar negara, sektor pelancongan serta memyediakan lebih banyak pusat setempat.

“Segalanya perlu diatur supaya perjalanan, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat tersusun lebih-lebih lagi selepas pascapandemik,” katanya berucap di majlis perasmian Pasar PJKita@Sri Damansara di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menandatangani plat ketika majlis perasmikan Pasar PJ@Kita Sri Damansara, Petaling Jaya pada 25 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Majlis berkenaan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pasar PJKita@Sri Damansara merupakan pasar awam pertama daerah itu mengetengahkan konsep moden, menyeluruh serta mesra penduduk termasuk untuk golongan kurang upaya (OKU).


Pengarang :