Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (kanan) pada majlis pelancaran Galeria PJ Eco Recycling Plaza di SS8 pada 29 Mac 2022. Foto Mustakim Ramli/ SelangorKini
AGENDAPBTSELANGOR

MBPJ komited perluas program kitar semula

PETALING JAYA, 30 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sentiasa komited dalam mempertingkatkan usaha untuk mempelbagaikan pelaksanaan projek kitar semula di kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata MBPJ telah membelanjakan RM85 juta bagi perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam serta RM8.3 juta adalah fi bagi pelupusan sampah.

“Kos ini dijangka akan meningkat sebanyak 35 peratus lagi…..seiring dengan itu majlis akan sentiasa mengambil langkah terbaik meningkatkan kadar kitar semula.

“Majlis menyasarkan penyertaan bilangan isi rumah bagi program kitar semula sebanyak 30 peratus pada tahun ini dan ia dijangka diperluas ke semua kawasan pentadbiran menjelang 2025,” kata Mohamad Azhan Md Amir.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Galeria PJ Eco Recycling Plaza di SS8 di sini, semalam.

Mohamad Azhan berkata plaza yang beroperasi sejak 2019 itu menyediakan perkhidmatan kutipan barangan kitar semula, kelengkapan dan peralatan bengkel barangan terbuang yang boleh diguna semula.

Katanya, plaza itu juga dilengkapi kemudahan pembelajaran, kemudahan rawatan sisa makanan dan organik serta bilik seminar dan latihan.

“Saya berharap warga Petaling Jaya dapat menggunakan kemudahan ini dengan baik dan mengambil bahagian bagi setiap program yang diatur di plaza ini.

“Plaza ini memberi ruang dan peluang kepada anggota masyarakat untuk sama-sama mengambil bahagian,” katanya.


Pengarang :