Program Food Waste Management-Food Rescue dijalankan Jabatan Sisa Pepejal Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bazar Ramadan Seksyen 17, Shah Alam pada 18 April 2021. Foto Facebook Sisapepejal MBSA
PBTSELANGOR

MBSA kumpul lebihan makanan, elak pembaziran ketika Ramadan

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjayakan program mengumpul lebihan makanan di tapak bazar Ramadan bermula hari pertama puasa.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata program MBSA Mysave Food itu melibatkan bazar Sekyen 19, Seksyen 25 dan Seksyen U5.

“Majlis membuka kaunter ketika peniaga sudah mula mengemas gerai. Jadi makanan yang tidak habis dijual boleh diserahkan sebelum diagihkan kepada pihak tertentu.

“Langkah ini bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran tetapi dalam masa sama membantu golongan memerlukan terutama keluarga kurang mampu,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Shahrin berkata program memasuki tahun kedua itu mendapat kerjasama beberapa pihak antaranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) WWF Malaysia, Pemuda GEMA, sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta majlis perwakilan penduduk.

“Mereka sudah mengenal pasti golongan yang akan menerima manfaat ini antaranya asnaf dan fakir miskin.

“Tahun lalu program hanya libatkan bazar Ramadan Seksyen 17 namun diperluaskan kali ini selepas mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.


Pengarang :