Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan (tengah) menyampaikan permit kepada peniaga dalam majlis perasmian Taklimat Bazar Ramadan dan Penyerahan Permit Bazar Ramadan MBSA 2022 di Shah Alam pada 21 Mac 2022. Foto MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA lulus permohonan 1,279 peniaga bazar Ramadan tahun ini

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 1,279 permit kepada peniaga bazar Ramadan di bandar raya itu tahun ini.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan sebanyak 31 lokasi tapak disediakan dan antara kawasan tersebut adalah di Seksyen 6, 7, 8, 16, 17, 18, 19, 20, 24, 25, 27, 28, 31, 33, 35, U2, U3, U5, U8, U10, U13, U19 dan U20.

“MBSA memberi penekanan terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) bagi pencegahan Covid-19 kepada penjaja selain kepentingan menjaga kebersihan sewaktu berniaga.

“Selain itu pemohon juga perlu mematuhi syarat kesihatan antaranya memakai apron, topi dan kasut semasa menjalankan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, penjaja juga hanya dibenarkan berniaga di lokasi diluluskan dan tindakan kompaun akan dikenakan jika meninggalkan tapak dalam keadaan kotor dan tidak dikemaskan.

Penyerahan permit kepada peniaga disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dalam majlis perasmian Taklimat Bazar Ramadan dan Penyerahan Permit Bazar Ramadan MBSA 2022 di sini semalam.


Pengarang :