Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berucap sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 29 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA perkenal pelbagai insentif ke arah bandar pintar

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyahut seruan untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar pintar dan memacu gagasan Kerajaan Negeri sebagai Smart Selangor menjelang 2025.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata pihaknya memperkenalkan beberapa inisiatif antaranya integrasi sistem perkhidmatan dalam talian MBSA, myMBSA, sistem cukai, lesen, kilang tanpa kebenaran dan pemetaan gis.

“Penggunaan tandatangan digital juga akan diperluas selain memperkenalkan sistem inventori pokok dan aset landskap Shah Alam(ePALSA), sistem pengurusan audit, program pengurusan tenaga dan kualiti udara.

“Selain itu, bagi memastikan agenda Smart Selangor ini dipacu MBSA akan terus mengorak langkah menerokai aspek teknologi kecerdasan buatan, penggunaan dron dan teknologi baharu yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSA 2021 di Pusat Konvensyen MBSA semalam, yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya, anugerah berkenaan adalah penghargaan dan pengiktirafan terhadap usaha serta komitmen kakitangan dalam memberikan perkhidmatan cemerlang sepanjang tahun lalu.

“Ia bukan sahaja sebagai dorongan dan pengiktirafan kepada warga kerja yang telah menjalankan amanah serta dedikasi dalam pekerjaan.

“Bahkan dalam skop lebih luas, anugerah ini adalah langkah ke arah memperkasakan budaya kerja cemerlang dalam semua aspek pengurusan, pentadbiran, penyampaian dan penyediaan perkhidmatan,” katanya.

Terdahulu, seramai 121 kakitangan MBSA menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021. MBSA turut memberi Anugerah Khas Perkhidmatan kepada 24 individu.

Dua kakitangan MBSA menerima Anugerah Khas Datuk Bandar iaitu pemangku pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSA Datuk Ir Ts Hanif Basree Abdul Rahman dan penolong pegawai tadbir Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Wan Suraya Sahabaludin.

Turut menerima anugerah sama bagi kategori Jabatan Cemerlang iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.


Pengarang :