Anggota skuad Pantas MBSJ menerima tiga bot penyelamat untuk digunakan ketika kecemasan terutama bencana banjir. Serahan aset oleh Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar di ibu pejabat MBSJ pada 13 Mac 2022. Foto ihsan MBSJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ tambah tiga lagi bot penyelamat, siap siaga depani bah

SHAH ALAM, 15 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menambah tiga bot penyelamat untuk digunakan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) sebagai persediaan menghadapi banjir.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata tambahan aset itu memudahkan skuad terbabit memberi bantuan awal dalam kes kecemasan yang berlaku serentak.

“Kecenderungan banjir di beberapa kawasan secara serentak telah menyukarkan kerja-kerja
bantuan kecemasan dijalankan.

“Diharap penambahan aset ini membantu anggota untuk memberi bantuan awal sebelum bantuan tiba daripada agensi keselamatan lain,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut meningkatkan pemantauan di kawasan mudah banjir dan memastikan penyelenggaraan saliran serta longkang dibuat berkala.

MBSJ juga meminta orang ramai untuk sentiasa peka dengan amaran cuaca dan bersiap sedia jika hujan lebat yang berpotensi kepada banjir kilat dan tanah runtuh.

Sebarang aduan atau kecemasan boleh hubungi Pusat Kawalan Subang Jaya di talian 03 8024 7700.


Pengarang :