Murid Sekolah Kebangsaan Ladang menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki kelas bagi memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 21 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: 2.7 juta pelajar mula sesi persekolahan bersemuka hari ini

IPOH, 21 MAC: Seramai 2.7 juta pelajar di seluruh negara memulakan sesi persekolahan 2022/2023 secara bersemuka hari ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 2,674,104 adalah murid sekolah rendah, 30,853 lagi merupakan pelajar Tahun 2, 3 dan 4 Kolej Vokasional manakala pelajar sekolah menengah selebihnya mengikuti pembelajaran secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Secara umumnya kehadiran baik iaitu melebihi 90 peratus. Walaupun ada anak belum divaksinasi, ibu bapa tidak risau anak datang ke sekolah,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Idrus Kampung Kuang Hilir, Chemor di sini hari ini.

Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan memantau sesi persekolahan bagi sekolah yang mempunyai lebih 600 murid sebelum membenarkan pelaksanaan kehadiran tanpa penggiliran seiring dengan keadaan negara yang akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.

“Kita tidak boleh tunggu kadar vaksinasi atau tetapkan kadar vaksinasi (tertentu) sebelum panggil murid hadir tanpa penggiliran kerana peratusan vaksinasi masih rendah, sebab itu sesi persekolahan hari ini akan dipantau bagi satu tempoh dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata KPM sedang mengkaji faktor para guru bersara awal sejak kebelakangan ini.

“Kita sedang susun data ini dan akan melihat satu per satu faktor termasuk punca, umur guru dan berapa lama dalam karier sehingga buat keputusan untuk bersara awal,” katanya.

Pada 17 Feb lepas, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya menerima laporan terdapat guru di negeri itu yang mengambil keputusan bersara awal disebabkan tekanan yang dialami sepanjang pandemik Covid-19.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan King George V (KGV) Zakri Abdul Aziz yang memulakan tugas hari pertama sebagai guru besar di sekolah itu mengenakan pelindung muka kepada murid tahun satu pada hari pertama pembukaan sekolah bagi sesi 2022/2023 hari ini. Foto BERNAMA

Di MELAKA, KPM menyumbang 338,092 kit kendiri Covid-19 bagi melaksanakan ujian saringan ke atas murid sekolah rendah dan menengah secara rawak setiap hari melibatkan 10 peratus daripada jumlah murid di setiap sekolah.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata bekalan kit ujian itu akandi terima secara berperingkat sebelum diedarkan kepada pihak pengurusan sekolah sebagai salah satu usaha mengekang penularan Covid-19.

“Usaha ini amat penting kerana ia sebagai langkah pencegahan Kementerian Pendidikan sendiri untuk membantu supaya kita dapat menjaga anak-anak yang memulakan sesi persekolahan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni murid SK Paya Rumput di luar pekarangan sekolah itu di sini hari ini.

Mengenai isu kekurangan bilik darjah di SK Paya Rumput, Rais berkata pihaknya akan mencari penyelesaian termasuk kemungkinan membina SK Paya Rumput 2 atau membuat penambahan bangunan bagi menampung peningkatan murid.

– BERNAMA


Pengarang :